SEJARAH ORGANISASI

PENGENALAN

Sesuai dengan namanya Daerah Perak Tengah terletak di bahagian Tengah Negeri Perak dan bersempadan dengan Daerah Kuala Kangsar di Utara, Hilir Perak di Selatan, Manjung di Barat dan Kinta di sebelah Timur. Daerah ini telah diwujudkan pada tahun 1936 di mana sebelum tarikh tersebut ianya merupakan sebahagian kecil dari Daerah Kuala Kangsar, Hilir Perak, Manjung dan juga Kinta.

Daerah ini meliputi kawasan seluas 1282 km. persegi dan mempunyai penduduk seramai 67,290 orang (mengikut bancian tahun 1991). Hasil utama penduduk daerah ini ialah di sektor pertanian seperti padi, getah, kelapa sawit dan juga buah-buahan seperti durian dan lain-lain.

Bandar Seri Iskandar merupakan pusat pentadbiran daerah ini manakala Kampung Gajah pula merupakan sebuah Daerah Kecil di daerah ini.

Daerah Perak Tengah merupakan sebuah daerah yang penuh bersejarah di mana di daerah inilah telah bermulanya sejarah penentangan orang-orang Melayu terhadap pendudukan Inggeris di Negeri Perak. Tujuan Daerah Perak Tengah diwujudkan adalah supaya pentadbiran daerah menjadi lebih kemas dan berkesan dengan mengecilkan keluasan sesuatu daerah itu.

Jika kita sebut nama Pasir Salak maka kita tidak dapat memisahkannya dengan Pahlawan-pahlawan Melayu yang terkenal seperti Dato’ Maharajalela, Dato’ Sagor dan yang seangkatan dengan mereka. Nama Pasir Salak berasal dari pasir di tepi sungai Perak yang dipenuhi kulit buah salak. Salak ialah sejenis buah , kulitnya berwarna cokelat, isi agak putih dan pokoknya seperti pokok nipah.

Sungai merupakan nadi kehidupan masyarakat di tepi sungai sebagaimana penduduk Pasir Salak. Di sungai inilah penduduk kampung menyara hidup dengan menjadi nelayan sungai, bot penambang, menghanyutkan buluh dan balak , mengangkut buah durian dan lain-lain buah-buahan ke Teluk Intan.

Di Pasir Salak juga adalah tempat berlakunya peristiwa pembunuhan Residen Inggeris yang pertama iaitu J.W.W. Birth yang merupakan detik bermulanya penentangan orang-orang Melayu yang diketuai oleh Dato’ Maharajalela terhadap pihak penjajah Inggeris di Negeri Perak.

SEJARAH, PERKEMBANGAN DAN AKTIVITI JABATAN KERJA RAYA PERAK TENGAH

ofis-lama1JKR Daerah Perak Tengah telah ditubuhkan pada 1hb. Ogos 1979. Penubuhan JKR Daerah Perak Tengah ini adalah disebabkan oleh beberapa aspek. Pertamanya adalah kerana Daerah Perak Tengah sendiri yang telah ditubuhkan pada 1936 iaitu lebih 40 tahun usianya tentunya banyak program-program pembangunan yang akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia. Dengan adanya sebuah organisasi JKR di bawah pentadbiran Daerah Perak Tengah secara langsung maka proses perlaksanaan program-program pembangunan akan menjadi lebih baik dan berkesan. Keduanya dengan tertubuhnya JKR Daerah Perak Tengah ini maka beban kerja yang selama ini ditanggung oleh Daerah Kuala Kangsar, Kinta, Manjung dan Hilir Perak telah dapat dikurangkan.

Organisasi

ofis-lama2

Semasa ditubuhkan pada tahun 1979 kakitangan pejabat ini hanya terdiri daripada seorang Jurutera Kerja dan beberapa orang kakitangan iaitu seorang Kerani, Juruteknik, Juruteknik Rendah, Pelukis Pelan serta beberapa orang Pekerja Am. Memandangkan kepada tugas yang berat yang ditanggung oleh seorang Jurutera Kerja dalam melaksanakan program-program pembangunan di dalam daerah maka pada tanggal 1hb. Januari 1981 jawatan tersebut telah dinaiktaraf kepada jawatan Jurutera Daerah JKR Perak Tengah sepertimana daerah-daerah yang lain.

Setelah beberapa tahun kemudian JKR Perak Tengah telah berkembang menjadi sepertimana JKR Daerah lain yang mana ianya dipimpin oleh Jurutera Daerah yang mentadbir Bahagian Pentadbiran, Bangunan, Jalan, Senggara, Elektrik, Stor dan Ukur Bahan serta mempunyai Cawangan-cawangan kecil di bawahnya yang mempunyai peranan masing-masing. Kini JKR Perak Tengah mempunyai 154 orang kakitangan.